29 March 2013

The Secret Windows



Tingkap Hati

Tingkap. Ia digunakan sebagai satu bentuk aliran udara dan cahaya bagi masuk ke dalam bilik. Apabila aku bersendirian, aku suka memandang tingkap bilik aku dan bagaikan suatu proses pemain audio visual, pelbagai buah fikiran yang hinggap di minda ini. Aku lihat jauh ke arah paparan yang disediakan oleh tingkap itu dan seringkali terperangkap dalam mencari konteks istilah tersirat yang diberikan. Aku lihat pokok-pokok yang merimbun, burung berterbangan dan bunyian angin yang bertiup. Ia menenangkan aku.

Ia ibarat sebuah dunia yang lain bagi aku. Dunia di mana cuma aku sahaja yang mengerti dan di mana aku sahaja yang kemudi. Barangkali mental aku sudah sakit kerana menyukainya tetapi pada aku, perasaan yang hadir bersama renungan jauh itu sukar digambarkan dengan kata-kata. Ia menenangkan aku. Buat aku longgar. Buat aku terlepas daripada cengkaman dunia buat sementara. Aku hidup tanpa terikat dengan apa-apa. Segalanya di minda.

Arwah bapaku juga mempunyai tingkapnya sendiri. Di saat akhir-akhir hayatnya, sering aku lihat beliau merenung jauh ke luar tingkap dengan ekspresi muka yang sukar aku terjemahkan. Wajah yang penat melayan karenah dunia. Wajah yang lega untuk seketika. Wajah yang mentafsir takdir. Semuanya bercampur aduk. Barangkali aku ketika itu belum bersedia untuk mengerti apa yang beliau rasai. Mungkin aku tak mampu merasai perasaannya. Dan aku akui, aku juga tidak tergamak untuk mengadili apa yang beliau lalui.

Di paparan ilusi itu juga aku melihat segalanya. Daripada desiran angin yang menyapa daun-daun di pokok, aku lihat hidup aku. Daripada kicauan burung-burung aku mendalami jasadku yang aku gunakan hampir 3 dekad ini. Aku selami perjalanan yang pernah aku lalui. Betapa tidak dapat aku sangka bagaimana aku berada di sini. Segala kesilapan lalu bermain di kepala aku. Segala gelak tawa bernyawa semula. Semua seolah beria-ria hanyutkan aku masuk ke dalam dunia aku sendiri. Aku tersenyum. Aku bersedih. Dan hanya Tuhan saja yang mengerti apa yang bermain di fikiran aku. Mindaku sendiri mengingatkan aku tentang diri aku yang sebenar. Wajah tanpa topeng.

Jauh juga minda ini bawa aku sehingga terpampang wajah-wajah rakan semasa di sekolah, muka cikgu yang beri impak pada aku. Rakan-rakan yang lama tidak ketemu. Wajah mereka-mereka yang khianat kepercayaan aku dan sebagainya. Malah segala insiden-insiden yang pernah berlaku, yang mendewasakan aku berputar kembali bagi tatapan hatiku. Ia ibarat mempunyai sistem timeline sendiri yang beri aku rumusan dalam proses seminima mungkin.

Sepantas ia membawa aku kembali ke masa lalu, begitulah juga cepatnya ia memaparkan masa depan aku. Pelbagai soalan yang menerjah. Pelbagai kemungkinan dihidang. Pelbagai ugutan yang aku terima daripada diri aku sendiri. Apakah aku akan berkembang dan maju lagi? Ke mana lagi hidup ini akan membawa ku? Bagaimana keadaan keluarga aku nanti? Segala ramalan... segala soalan peluk erat otakku. Sehingga ia membenarkan otak aku menggambarkan dunia selepas ketiadaan aku. Apakah mereka akan merindui aku? Atau mereka akan meraikannya? Apakah akan terjadi pada keluarga aku bila ia berlaku. Ah... tanpaku sedar, aku berada dalam bebelan soalan yang lahir dalam minda aku ini.

Apakah aku terlalu memikir? Apakah aku terlalu berangan? Apakah aku terlalu lemah dengan mengizinkan minda sendiri hanyutkan aku ke dalam keadaan longgar begitu? Walau bagaimana pun.... hanya suasana berseorangan begini, aku mengenali diri aku yang sebenarnya. Yang aku tahu, mengakui kewujudan aku. Hanya bila berseorangan begitu aku dapat merasai apa yang aku rugi. Betapa aku sebenarnya hidup bahagia bersama jodohku di sisi. Betapa terbuka luas perjalanan hidup ini. Dan.... betapa jauhnya kaki ku ini sudah melangkah.

Bagi orang lain, ia hanyalah sebuah tingkap... tapi jika dilihat menggunakan mata hati, ia bukan sekadar tingkap. Ia merupakan mesin masa.

Kufaz N., March 27th 2013.

p/s: Just another emo day. -.-

No comments:

Let's Interact!

me>